Tuesday, January 4, 2011

eMotivasi: Kekurangan Bukan Alasan

Tidak semua orang yang berjaya itu memiliki kesempurnaan sebelum mencapai kejayaan. Ada di antara mereka mengalami kekurangan fizikal tetapi masih mampu mengukir nama di dalam lipatan sejarah sebagai orang yang berjaya. Ada di antara para cendekiawan dunia yang buta, tuli dan lumpuh namun kekurangan ini tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus berjaya. Dengan ilmu yang ada mereka terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Jelas sekali bahawa mereka tidak pernah merasakan ada kekurangan pada diri mereka. Malah mereka terus berbakti memenuhi kekurangan orang lain melalui curahan ilmu pengetahuan.



Namun anehnya orang yang sempurna fizikalnya selalu merasakan dirinya serba kekurangan. Kesannya masa dihabiskan hanya untuk merintih dan menangisi kekurangan yang dirasakan. Ketahuilah, masalah kesihatan, kewangan, perhubungan, status dan peribadi diri hanyalah penghalang sementara yang boleh dirobohkan. Semua itu bukannya pemati jalan hidup ini. Harus kita ingat juga bahawa ramai orang terkenal yang telah mencapai kejayaan dalam hidup ini tidak mempunyai pelajaran yang tinggi tapi masih mampu berbakti kepada orang lain. Mereka semua telah berjaya kerana mereka menjalani kehidupan ini dengan penuh gigih, tabah dan optimis. Satu sebab lagi, mereka tidak mengukur kejayaan hidup ini dengan harta dan kedudukan semata-mata tetapi mengukur kejayaan hidup dengan ketenangan jiwa serta keredhaannya menerima takdir yang telah diberikan oleh Allah S.W.T. Terimalah siapa diri kita seadanya nescaya ketenangan dan kebahagiaan itu pasti datang.

No comments:

Post a Comment