Sunday, January 9, 2011

Cinta Dahulu Sebelum Kahwin

Ramai yang membincangkan perkara ini samaada bercinta dahulu sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula yang menyarankan bahawa selepas kahwin baru bercinta, baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Ini bererti tidak ada kaedah khusus. Terpulanglah kepada jodoh masing-masing.



Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?



Kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan. Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, Insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment